GAMBAR AKTIVITI
13 Mac 2024 - Mesyuarat penyelarasan kes kecemasan dan kematian di luar pesisir pantai Terengganu dan pengurusan kes semasa tiba di pelabuhan yang diwartakan (Tanjung Berhala) anjuran Epic Berhad bersama Unit Pintu masuk Antarabangsa, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.
Mesyuarat ini dipengerusikan bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam) Dr. Mohd Anuar Bin Abd Rahman dan Encik Suhardi Akil Bin Hassan. Mesyuarat turut melibatkan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan iaitu Ketua Polis Kemaman, Pegawai Kesihatan Daerah, Pengarah Keselamatan Kerajaan, Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Pengarah imigresen, Ketua Jabatan Laut dan Ketua Maritim Kemaman.
Antara perbincangan melibatkan kes-kes kecemasan yang berlaku di atas kapal / platform dan prosedur jika berlaku kecederaan atau kematian yang perlu diurus dengan segera di darat.
Perasmian penutup disempurnakan oleh Group Chief Operating Officer, Ts. Haji Muhtar Bin Suhaili selaku operator di Pelabuhan Kemaman.
SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA PERINGKAT DAERAH KEMAMAN 2024
9 Mac 2024 - Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun. Tema pada tahun ini masih dikekalkan dengan slogan "Close the Care Gap (Rapatkan Jurang Penjagaan)" yang mana fokus pada tahun ini adalah mengajak semua individu, organisasi, advokasi dan penggubal dasar memainkan peranan masing-masing untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha pencegahan, kawalan dan penjagaan penyakit kanser.
Sehubungan itu, Unit NCD PKD Kemaman dengan kerjasama KOSPEN ,KRT dan JPKK Kg Besut 1 telah mengadakan kempen kesedaran kanser bertempat di Kg. Besut. Pelbagai aktiviti diadakan sesuai dengan semua peringkat umur. Antaranya 10,000 langkah Funwalk/Funrun, Pameran Interaktif, kuiz dan permainan kanak-kanak.
Kursus Basic Life Support dan Pertolongan Cemas Siri 1/24
Tarikh : 6 Mac 2024
Tempat : Dewan Permaisuri, Intan Kampus Wilayah Timur, Kemaman
Agenda :
1. Pengenalan MERS999
2. Ceramah Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) Oleh PPPK Syazwan bin Ramli
3.Automated External Defibrillator (AED)
4.Pengendalian & perawatan awal bagi mangsa tercekik dewasa & kanak-kanak
Penglibatan bersama :
- Pakar Perubatan Keluarga, Dr Mohammad Hasan bin Ahmad
- Penolong Pegawai Perubatan
- Jururawat Team BLS PKD Kemaman
Sekitar lawatan muhibah dari COMBI Daerah Petaling dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling ke COMBI Kg. Cina Mak Dayang dan COMBI Taman Perwaja, Kemaman.
Semoga sesi perkongsian sepanjang lawatan ini memberi manfaat kepada semua pihak. Terima kasih diucapkan atas kesudian hadir ke Kemaman.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan :
- Pengerusi & AJK COMBI Kemaman
- COMBI Kg. Cina
- COMBI Taman Perwaja
- Unit Promosi & Unit Vektor Pejabat Kesihatan Kemaman
- Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar (JKAS) MPK
- Pejabat Daerah Kemaman
- Penghulu Mukim
- Dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung
Aktiviti 10,000 Langkah Plogging Sempena Program Kempen Kesedaran Kanser Di Kemaman
29 Februari 2024
- Program diadakan bertempat di Pantai Penunjuk Kijal dirasmikan oleh Dr Mohamad Hasan bin Ahmad, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, KK Kerteh.
Antara aktiviti yang dijalankan melibatkan 10,000 langkah menerusi aktiviti plogging iaitu berjalan sambil mengutip sampah di persisiran pantai. Sebanyak 50 kilogram (kg) sampah yang kebanyakannya sisa plastik dapat dikutip dalam tempoh setengah jam.
Aktiviti senamrobik turut diadakan sebelum pelepasan aktiviti plogging yang diketuai oleh Coach Mujahid dari Wellness Hub Kerteh.
Gaya hidup sihat menerusi amalan aktif melakukan aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko kanser selain amalan pemakanan yang sihat dan minda yang sihat.
PUBLIC TALK KESIHATAN SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA OLEH KLINIK KESIHATAN BATU 2.5
Tarikh : 5 Februari 2024
Tempat : Ruang Menunggu UPL/NCD, KK Batu 2.5
Penceramah : Dr. Shamsul
Sempena bulan kesedaran penyakit kanser, Unit NCD KK Batu 2.5 mengadakan public talk kesihatan bertujuan memberi pengetahuan dan tunjuk cara kepada pengunjung klinik mengenai penyakit-penyakit kanser utama di Malaysia khususnya kanser kolorektal, gejala-gejala kanser dan cara-cara saringan kanser yang terdapat di klinik.
Orang ramai atau ahli keluarga yang berisiko adalah digalakkan untuk mendapatkan saringan penyakit kanser di mana-mana klinik kesihatan berhampiran bagi rawatan awal.
KEJOHANAN FUTSAL KIKSM CAWANGAN TIMUR (PERINGKAT NEGERI TERENGGANU)
Kemaman, 22 Februari -Unit Inspektorat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) Cawangan Timur telah menganjurkan kejohanan ini. Kejohanan telah berlangsung di Sports PC Futsal & Badminton Kemaman dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman selaku tuan rumah.
Program telah disertai anggota Inspektorat di kalangan Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada setiap daerah. Program ini juga merupakan satu aktiviti kecergasan fizikal bagi melahirkan warga sihat dan produktif serta selaras dengan strategi jabatan dalam membentuk persekitaran kerja kondusif dan seronok bekerja ia secara tidak langsung membina minda yang sihat, merapat ukhwah dikalangan anggota inspektorat dan salah satu strategi meningkat motivasi dalam bekerja.
KURSUS PEMANTAPAN KAWALAN INFEKSI DAN ANTIBIOTIK SESI 1/2024 ANJURAN UNIT PRIMER & UNIT KAWALAN INFEKSI PKD KEMAMAN
22 FEBRUARI 2024
- Kursus diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat As-Syakirin PKD Kemaman melibatkan 50 orang anggota kesihatan.
Kursus ini adalah penting bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran anggota dalam pelaksanaan kawalan infeksi di fasiliti kesihatan serta menekankan kefahaman yang lebih mendalam berkaitan ubatan antibiotik. Ia juga bertujuan sebagai kawalan dalam melindungi pesakit dan anggota kesihatan sendiri daripada jangkitan yang boleh berlaku dengan mempraktikkan langkah-langkah keselamatan standard dan tambahan (standard & additional precaution).
Fasilator terlibat adalah merupakan fasilitator terlatih dan mempunyai pos basik kawalan infeksi, link nurse dan link personel. Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi pre-test, ceramah, soal jawab, latihan kumpulan kecil (hands on) dan sesi post-test.
KURSUS PEMANTAPAN IMEJ PROFESIONAL & ETIKET SOSIAL SERTA INTEGRITI PENJAWAT AWAM ANJURAN UNIT KEJURURAWATAN PKD KEMAMAN
20 FEBRUARI 2024 ( SELASA)
- Bertempat di bilik mesyuarat Klinik Kesihatan Batu 2 1/2 melibatkan seramai 48 peserta terdiri daripada jururawat, pembantu perawatan kesihatan & juruteknologi makmal perubatan.
Objektif kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada anggota supaya dapat memantapkan integriti, imej serta mengamalkan etiket sosial yang baik dalam kalangan penjawat awam.
Ceramah pemantapan imej profesional dan etiket sosial di sampaikan oleh fasilitator jemputan dari agensi Pesona Karisma, Encik Mohd Noor Azmin bin Marzukhi dan Ahmad Azwan bin Ahad Adrus.
Ceramah berkenaan tatatertib pula disampaikan oleh Dr Norulhuda Che Nordin, Pegawai Perubatan & Kesihatan ( Pengurusan) PKD Kemaman. Semoga kursus ini dapat memberi impak yang lebih positif kepada penjawat awam bagi membudayakan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada pelanggan.
TAKLIMAT KESELAMATAN MAKANAN DAN PEMAKANAN SIHAT DI KANTIN SEKOLAH DI BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PERINGKAT DAERAH KEMAMAN
21/2/2014 - JKNT dengan kerjasama JPNT sentiasa berusaha dan komited dalam memastikan kesihatan pelajar dalam keadaan yang baik dan sejahtera. Justeru, program ini merupakan salah satu inisiatif yang telah dipersetujui sebagai langkah pencegahan keracunan makanan kepada semua pelajar.
Program hari ini melibatkan semua sekolah yang berada di daerah Kemaman. Program yang telah dijalankan bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, PPD Kemaman ini, telah dihadiri oleh seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada pengusaha kantin dan Penolong Kanan HEM sekolah. Program ini merupakan platform yang terbaik kepada semua pihak yang terlibat untuk berkongsi maklumat dan isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan makanan dan pemakanan sihat umumnya dan kantin sekolah khasnya.
Antara pengisian program adalah ceramah yang bertajuk keselamatan makanan dan amalan kendiri serta penguatkuasaan Akta Makanan 1983. Ceramah pemakanan sihat & pengubahsuaian makanan dan taklimat penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah dan RMT sekolah. Semakan pendaftaran premis makanan dan pensijilan BeSS dan Anugerah Kantin Terbersih turut disampaikan kepada 5 buah sekolah yang terpilih.
GOTONG-ROYONG PERDANA KK KIJAL BERSAMA KOMUNITI DAN JPKK KG PADANG KEMUNTING
16 Februari 2024
- Klinik Kesihatan Kijal telah mengadakan gotong-royong dengan mendapat kerjasama bersama penduduk dan JPKK Padang Kemunting. Seramai 25 orang staff dan penduduk kampung terlibat.
Gotong-royong ini bertujuan untuk membersihkan kawasan sekeliling pagar klinik desa agar lebih bersih, kemas dan ceria selain mengelakkan haiwan berbisa.
Terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menyumbang tenaga dan peralatan terutama kepada JPKK Padang Kemunting. Semoga aktiviti sebegini dapat menjalinkan hubungan yang baik di kalangan staff dan komuniti.
PROGRAM KESIHATAN WANITA ANJURAN KLINIK KESIHATAN CHUKAI
TARIKH: 15 Februari 2024
Tempat: Bilik Gerakan Akasia Aras 4, Wisma Persekutuan Daerah Kemaman
Objektif Program:
1. Meningkatkan aktiviti saringan dan pemeriksaan kesihatan rutin dalam kalangan wanita
2. Membuat saringan kesihatan kepada kumpulan berisiko
3. Membuat intervensi awal hasil saringan dan pemeriksaan kesihatan yang dijalankan
4. Membuat rawatan susulan dan rujukan
5. Mengeratkan hubungan kerjasama dan kolaborasi dengan warga Wisma Persekutuan Daerah kemaman
Diharapkan dengan penganjuran program seumpama ini akan memperkasakan lagi kesihatan keluarga khususnya wanita di samping mengenalpasti awal faktor risiko, membuat intervensi awal bagi pengendalian rawatan yang lebih efektif serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Klinik Kesihatan Chukai dan Warga Wisma Persekutuan Daerah Kemaman.
MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN SESI 2024/2026 KESUKES CAWANGAN KEMAMAN
15 Februari 2024: KESUKES Cawangan Kemaman telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan bertempat di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman.
Kehadiran ahli yang telah didaftarkan ialah seramai 70 orang secara bersemuka. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Y. Bhg. Dr. Mohd Shafik bin Abd Majid, Pengerusi KESUKES Cawangan Kemaman
Mesyuarat telah berjalan mengikut semua agenda mesyuarat agung cawangan. Perjalanan mesyuarat berjalan lancar, cepat, padat dan teratur serta berhemah dalam suasana yang penuh meriah, harmoni dan teratur mengikut peraturan yang ditetapkan dalam perlembagaan. Tahniah kepada Dr. Amran bin Japar, Pengarah Hospital Kemaman kerana telah dipilih menjadi Pengerusi KESUKES Cawangan Kemaman Sesi 2024/2026
PROGRAM KESEDARAN MENGENAI PENYAKIT BERJANGKIT AIDS/STI DI MADRASAH / TAHFIZ KEMAMAN
15 Feb 2024 - Pada 14 dan 15 Feb 2024, Unit AIDS/STI PKD Kemaman telah menjalankan program kesedaran (ceramah) pelajar dan pengajar di tiga Maahad Tahfiz / Madrasah di Kemaman.
1. Tahfiz Al Muqarrabin-Kerteh (80 org pelajar)
2. Akedemi pengajian Al Bahjah Kijal (42 org pelajar)
3. Madrasatul Al Arabia - Kerteh (50 org pelajar)
Ceramah berkenaan penyakit AIDS dan STI telah disampaikan kepada semua pelajar dan pengajar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang bahaya mengenai penularan penyakit berkenaan pada masa kini serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan diri dari terjebak ke kancah penyakit berkenaan
PENSIJILAN TRUST MyCATERING & PREMIS TERBERSIH (A) DARUL IMAN TRAINING CENTRE (DITC) KEMAMAN
Tahniah diucapkan kepada Darul Iman Traning Centre (DITC) merupakan sebuah institusi pusat latihan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang telah mendapat 3 pengiktirafan terbaik sempena ulang tahun DITC.
Pengiktirafan melibatkan dua daripada KKM iaitu Pensijilan Trust MyCatering dan Premis Terbersih (A) serta pensijilan halal daripada JAKIM. Penyampaian pengiktirafan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman diwakili En. Mohd Rosli Abd Wahab, Pegawai Kesihatan Persekitaran yang telah hadir memberi ucapan dan penyampaian pengiktirafan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Tuan Hj. Mohd Suhaimi Embong. Turut hadir Pengurus Operasi DITC, anggota pasukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan PKD Kemaman dan petugas DITC.
PROGRAM CERAMAH DAN PAMERAN KAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT (CDC) DAN UNIT VEKTOR KEPADA PELAJAR PONDOK AS-SIROTOL MUSTAQIM, BINJAI KEMAMAN
Kemaman 6 Feb : Pihak pentadbiran Pondok As Sirotol Mustaqim telah menjemput pegawai daripada Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman bagi menyampaikan ceramah dan pameran kesihatan sebagai langkah pencegahan kepada penyakit-penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar pondok ini seperti denggi, kudis buta, ekzema dan lain-lain penyakit.
Ceramah penyakit berjangkit, tunjuk cara disinfeksi dan berkenaan kawalan hasil tembakau telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan, En.Mohd Haniff Harun bersama anggota dari Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) PKD Kemaman yang mengadakan pameran penyakit berjangkit.
Penghargaan terima kasih dan tahniah kepada pengurusan pondok, Tuan Guru Haji Fakrul Razi Mudir Pondok Sirotol Mustaqim dan Abdul Muin bin Ismail, Setiausaha Pondok Sirotol Mustaqim diatas kerjasama menjayakan program ini.
KEARAH PENINGKATAN PREMIS TERBERSIH DALAM MENCEGAH KERACUNAN MAKANAN DI SEKOLAH
Unit Kualiti dan Keselamatan Makanan (UKKM) PKD Kemaman terus mempergiat operasi kebersihan kantin sekolah-sekolah di daerah ini dalam usaha mencegah berlakunya keracunan makanan kepada pelajar-pelajar sekolah.
Dalam operasi yang dijalankan hari ini sebuah sekolah lagi telah mendapat pengiktirafan premis kantin sekolah terbersih iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu (SEBARU). Sehingga bula… Lihat seterusnya
Tunjuk Cara Prosedur Kecemasan CPR oleh Penolong Pegawai Perubatan sempena Program Teen Of Ummah Kemaman
Tarikh: 6 Februari 2024
Tempat: Dewan Pustaka Geliga Kemaman
Anjuran:
- Sekolah Al Amin
- Perpustakaan Negara Cawangan Geliga
- Masjid Geliga
Ceramah dan demonstrasi CPR telah disampaikan oleh PPP En. Sobri dan PPP En. Fauzan dan dibantu oleh PKB En. Syukuri melibatkan 140 orang peserta terdiri daripada pelajar dan agensi terlibat.
Program Penyediaan Video Masakan Makanan Tinggi Tenaga Untuk Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan
Tarikh : 31 Januari 2024
Tempat: Kolej Komuniti Kemaman
Objektif :
1)Menyediakan video makanan tinggi tenaga sebagai bahan advokasi pemakanan
2) Mempelajari teknik-teknik penyediaan video yang berkesan
Aktiviti
-Taklimat cara merekod video dan editing menggunakan Capcut
-Penyediaan demo masakan makanan tinggi tenaga
-Penyediaan video masakan makanan tinggi tenaga
Disediakan oleh:
1)Pegawai Sains Pemakanan PKD Kemaman
(Pn Asyikin, Pn Suhaiza dan Pn Hazwanie)
2) PKA Unit Promosi Kesihatan (En Abd Hadi)
3) Jururawat kesihatan dari klinik-klinik PKD Kemaman
Mesyuarat COMBI Daerah Kemaman Bil 1/2024
Tarikh : 31 Januari 2024
Tempat : Bilik Mesyuarat Aras 3, Pejabat Daerah
Penglibatan :
- ADO En. Abd. Hakim Abd. Latiff
- Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid
- Unit Promosi Kesihatan
- Unit Vektor
- En. Jaafar Isa, JKAS MPK
- Penghulu Tinggi
- Penghulu-penghulu Mukim
- Pengerusi-pengerusi dan ahli JK JPKK / COMBI
- Pengerusi COMBI Daerah, Pn. Wan Norsuriya Wan Mokhtar dan JK COMBI Daerah 2020 - 2023
Mesyuarat dipengerusikan oleh ADO, En. Abd. Hakim bin Abd. Latiff. Antara agenda mesyuarat adalah pengesahan minit mesyuarat yang lepas, pembentangan situasi semasa denggi oleh Dr. Izlaiza (Unit Vektor ), tayangan video pencapaian projek inovasi COMBI Kemaman di konvensyen, pembentangan pencapaian aktiviti lokaliti COMBI mengikut mukim dan pelan tindakan COMBI 2024 oleh Puan Aishah, Penyelaras/Setiausaha COMBI, pembubaran JK COMBI Daerah 2020-2023 dan seterusnya pelantikan baharu JK COMBI Daerah bagi sesi 2024 - 2026.
Tahniah diucapkan kepada barisan JK COMBI baharu bagi sesi 2024 - 2026. Semoga terus proaktif menggerakkan komuniti.
Terima kasih kepada barisan mantan JK COMBI sesi 2020 - 2023 atas sumbangan dan khidmat bakti.
Program Pemakanan Di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kerteh
Tarikh: 31 Januari 2024
Aktiviti:-
1. Ceramah kebaikan makan buah dan sayur
2. Menyusun buah dan ayur mengikut 5 warna
3. Menerangkan konsep Mindful Eating semasa menikmati makanan
4. Penilaian sensori rasa buah dan sayur
- Menerangkan rasa dan tekstur buah dan sayur
- Menerangkan perbezaan rasa manis, masam, pahit, pedas, herba dan berlemak
- Menerangkan penerimaan buah dan sayur
5. Mempelajari agar mencuba menilai rasa buah dan sayur yang baru. Tidak hanya makan buah dan sayuran yang sama
Aktiviti dijalankan oleh Pegawai Sains Pemakanan, Cik Suwaibah, KK Kerteh
Unit Promosi Kesihatan dan Unit Pemakanan hari ini mengadakan aktiviti pameran dan permainan interaktif kesihatan di SK Seberang Tayor.
Antara pengisian aktiviti:
1. Penerangan mengenai masalah tumbesaran (bantut) dalam kalangan kanak-kanak dan pemakanan yang ideal
2. Penerangan tentang vape dan juga rokok
3. Pergerakan senaman mudah bagi kanak-kanak
Aktiviti fun learning sebegini diharap dapat menerapkan budaya cara hidup sihat kepada kanak-kanak.
TAKLIMAT PENGURUSAN PENYAKIT BERJANGKIT SERTA KAWALAN INFEKSI BAGI PENCEGAHAN PENYAKIT BERJANGKIT DI LAPANGAN TERBANG KERTEH
21 Januari 2024 - Pejabat Kesihatan Pelabuhan KSB dan Kerteh telah berkolaborasi dengan pihak Lapangan Terbang Kerteh mengadakan taklimat berkenaan pengurusan penyakit berjangkit dan kawalan infeksi bagi pencegahan penyakit berjangkit melibatkan:
1. Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kerteh
2. PDRM Cawangan Tindakan Khas
3. Senai Airport (Operasi dan Penyelenggaraan)
4. Unit Pengurusan Lapangan Terbang Kerteh
5. Unit Operasi Lapangan Terbang Kerteh
6. Unit Pengurusan Fasiliti Lapangan Terbang Kerteh
7. Polis Bantuan (Aviation Security)
8. Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Kerteh
9. Kontraktor Pembersihan
Taklimat pertama adalah berkenaan Pengurusan Asas Penyakit Berjangkit disampaikan oleh Dr. Dessi Ratna Sari Binti Hamsar, Pegawai Perubatan & Kesihatan dari Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) PKD Kemaman.
Seterusnya sesi perbincangan dua hala senario kes oleh En. Mohd Hafizan Bin Muhamad, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Unit Kesihatan Pelabuhan Tg Berhala (KSB) berkenaan kes Medevac Penyakit Berjangkit dan Penyakit Tidak Berjangkit yang berlaku di Pintu Masuk Antarabangsa
Selain itu, taklimat berkenaan Cara Penggunaan dan Pelupusan PPE disampaikan oleh Pn. Nor Azlina Binti Mohamad Nor, Jururawat Kesihatan dari Unit Kawalan Infeksi PKD Kemaman dan taklimat berkenaan Bancuhan dan Cara Semburan Disinfeksi pula disampaikan oleh En. Raja Mohd Hafizul Bin Tuan Soh, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Unit Kesihatan Pelabuhan Kerteh, PKD Kemaman.
Program ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada petugas di lapangan terbang berkaitan penyakit berjangkit dan langkah pencegahan yang perlu diambil dalam pengurusan penumpang
Terima kasih diucapkan kepada Pengurus Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, En. Zulkiflee Bin Jamaludin, Pengurus Lapangan Terbang Kerteh, En Nor Azril Roselan dan Ketua Imigresen Kerteh, Pn. Farahida Binti Karuddin kerana berkolaborasi bagi taklimat ini.
AYUH GEMPUR AEDES COMBI Taman Sri Kalongan, Kemaman
Tarikh: 20/01/2024 (Sabtu)
Penglibatan:
- COMBI Taman Sri Kalongan
- JPKK Taman Sri Kalongan
- Penduduk setempat
- COMBI Kemaman
- Unit Promosi Kesihatan
- Unit Vektor
- JKAS Majlis Perbandaran Kmn
Aktiviti:
Edaran banner bunting kepada lokaliti untuk dipasang di tempat program dan edaran plastik sampah untuk diberikan kepada penduduk oleh pasukan UPK (2 hari sebelum goro)
Hebahan gotong-royong oleh Unit Bergerak UPK (Sehari sebelum gotong-royong)
Gotong-royong berfokus kawasan berisiko (diketuai oleh ketua lorong) -Taklimat pembahagian kawasan disampaikan oleh Unit Vektor
Gotong-royong kendiri di kediaman masing-masing
Penyampaian pendidikan kesihatan menerusi lawatan pasukan COMBI rumah ke rumah dan edaran kit denggi
Tahniah COMBI Taman Sri Kalongan yang telah mengadakan aktiviti gotong-royong membasmi aedes. Cuaca hujan dan kadangkala panas dapat menggalakkan pembiakan nyamuk aedes. Hapus aedes cegah denggi tanggungjawab bersama.
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT
PROGRAM KESEDARAN MENGENAI PENYAKIT BERJANGKIT AIDS/STI DI MADRASAH / TAHFIZ KEMAMAN
16 Jan 2024 - Pada 15 dan 16 Jan 2024, Unit AIDS/STI PKD Kemaman telah berkolaborasi dengan Unit TIBI mengadakan program kesedaran dan saringan TIBI kepada pelajar dan pengajar di 3 Maahad Tahfiz / Madrasah di Kemaman melibatkan:
1. Madrasah Hafizah Khadijatulkubro
2. Maahad Tahfiz Darul Uloom Islamiyah
3. Pusat Pengajian Islam Ribat Al Asyraf
Ceramah berkenaan penyakit AIDS dan STI telah disampaikan kepada semua pelajar dan pengajar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang bahaya mengenai penularan penyakit berkenaan pada masa kini serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan diri dari terjebak ke kancah penyakit berkenaan.
Selain itu aktiviti saringan kahak TIBI bagi pelajar yang bergejala batuk telah dibuat dan turut diedarkan pamplet mengenai penyakit AIDS/STI dan TIBI bagi tujuan pendidikan kesihatan.
LAWATAN PASUKAN KESIHATAN PEJABAT KESIHATAN DAERAH KUALA TERENGGANU KE PEJABAT KESIHATAN PELABUHAN KSB, KEMAMAN
17 Januari 2024 - Pejabat Kesihatan Pelabuhan KSB menerima lawatan kerja dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu bagi tujuan mempelajari proses dan pengurusan pertukaran anak kapal dan pekerja teknikal yang dijalankan di KSB memandangkan Kuala Terengganu Supply Based (KTSB) kini telah beroperasi di Daerah Kuala Terengganu yang berada dibawah seliaan PKD Kuala Terengganu.
Taklimat prosedur pertukaran krew dan anak kapal yang dilaksana di crew change facility center dibawah arahan dan pemantauan 3 agensi utama yang menjaga Pelabuhan Tanjung Berhala iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Laut dan Pejabat Kesihatan Pelabuhan telah disampaikan oleh Polis Bantuan Epic Berhad dan En. Mohd Azril Aliff bin Jusoh, Pengurus Keselamatan Epic Berhad.
Pasukan kesihatan PKD Kuala Terengganu turut berkunjung ke Pejabat Imigresen Kemaman dan diberi taklimat oleh En Azlan Bin Awang Kechik, Ketua Imigresen Pelabuhan Kemaman, merangkap Ketua Pintu Masuk Laut Terengganu
Proses kerja antara operator dan kerajaan iaitu Pejabat Laut, Imigresen dan EPIC amatlah penting kerana masing2 mempunyai tanggungjawab dalam memastikan prosedur ini berjalan lancar.
Terima kasih diucapkan kepada pengurus besar Pengkalan Bekalan Kemaman, En. Syed Abdullah Bin Syed Omar menerima lawatan daripada pihak kesihatan PKD Kuala Terengganu. Turut hadir Dr. Mohd Shafik Abd. Majid, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman.
Pejabat Kesihatan Pelabuhan merupakan salah satu unit khas di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang ditempatkan di pelabuhan.
KERJASAMA STRATEGIK INTERAGENSI:
BANTERAS VAPE DAN DADAH DI SEKOLAH
Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman melaksanakan strategi memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan awam 2024 yang mana salah satunya adalah menerusi kolaborasi kerjasama rakan strategik interagensi. Satu projek bagi menghasilkan toolkit dan modul bagi menangani isu vape dan dadah di sekolah telah dibincangkan, ia merupakan antara permasalahan melibatkan kesihatan awam masa kini khususnya kepada pelajar sekolah.
Justeru itu, satu mesyuarat telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah dengan penglibatan daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Daerah Kamaman, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Sekretariat Parlimen Malaysia.
Delegasi pihak kesihatan melibatkan 5 pegawai yang dihadiri sendiri Dr. Mohd Shafik Bin Abd Majid (Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman), Dr. Nur Baiti Binti Hj Yusoff (Pakar Perubatan Keluarga), Dr. Nurul Nadiah Binti Yusof (Pegawai Perubatan & Kesihatan), Dr. Nadhirah Binti Nazarudin (Pegawai Perubatan & Kesihatan), En Mohd Rosli Bin Abd Wahab )Pegawai Kesihatan Persekitaran) dan En. Ahmad Nazmi Bin Mat Yusoff (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran)
Pihak kesihatan telah pun membentangkan dan memberi input berkaitan bahaya vape serta rokok. Juga maklumat mengenai kesan penggunaan magic mushroom kepada pelajar.
PELANCARAN OPS GOMO ASAP SEMPENA TAHUN BAHARU 2024 DI KEMAMAN
Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman melancarkan Ops pembukaan bagi Operasi Gomo Asap mulai minggu ini dan akan digerakkan secara aktif sepanjang tahun 2024. Operasi pada tahun ini mempunyai kelainan kerana setiap pasukan kini telah dibekalkan dengan "Body Camera" yang dipakai oleh penyelia dilapangan.
Dalam operasi kelmarin, sebanyak 2 pasukan melibatkan 12 anggota penguatkuasa telah digerakkan di sekitar Bandar Chukai, Perasing dan Cheneh.
Sebanyak 7 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah per 11(1)(d) atas kesalahan merokok di dalam premis kedai makan dengan nilai RM 250. Semua kesalahan yang dikeluarkan boleh ditawarkan kompaun dan rayuan dengan hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan untuk pembayaran. Sabit kesalahan boleh didakwa ke mahkamah dengan denda RM 10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Para perokok yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di mana-mana Klinik Kesihatan berdekatan.
Terima kasih pihak AADK Kemaman mengadakan kerjasama hala tuju strategik bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dalam menanggani isu penyalahgunaan vape, dadah dan rokok dalam kalangan pelajar sekolah.
Perbincangan bersama Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid diadakan dengan melibatkan Pakar Perubatan Keluarga, Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Unit Inspektorat & Penguatkuasaan (UIP), Unit HIV/Aids dan Unit Promosi Kesihatan.
Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman mengalu-alukan sebarang bentuk perbincangan bagi manfaat kesihatan & kesejahteraan komuniti sejagat.
Semasa bencana banjir, pasukan kesihatan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) atau lebih dikenali Inspektor Kesihatan (IK), Pembantu Kesihatan Awam (PKA), Pembantu Awam dan juga pemandu juga berperanan penting sebagai pasukan yang menjalankan aktiviti kawalan, pemantauan & pencegahan penyakit di semua PPS.
Antara aktiviti yang dijalankan di PPS adalah:
Membuat semburan larvaciding bagi pencegahan penyakit disebabkan LILATIN (Lipas, lalat, tikus & nyamuk)
Pemantauan kebersihan & keselamatan makanan
Pemantauan bekalan air bersih
Memberi pendidikan penjagaan kesihatan semasa berada di PPS kepada mangsa banjir
Melaporkan jika terdapat sebarang keadaan yang tidak selamat berdasarkan penilaian risiko
Pasukan kesihatan diselaraskan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, En. Mohd Rosli Abd. Wahab, Ketua Komandan Pasukan Kesihatan Bilik Gerakan Banjir PKD Kemaman.
Pasukan perubatan bergerak KK Air Putih turut memberikan perkhidmatan kepada mangsa banjir di PPS Teladas dan PPS Air Putih.
Pasukan perubatan bergerak KK Seberang Tayor memberikan perkhidmatan kepada mangsa banjir di PPS Felda Seberang Tayur melibatkan seramai 223 orang penghuni. Antaranya melibatkan pesakit terlantar.
Selain memberikan perkhidmatan pemeriksaan dan ubatan, pasukan turut melakukan aktiviti psychological first aid bersama kanak-kanak.
Mesyuarat Kesiapsiagaan Kesihatan Bencana Banjir
Mesyuarat dipengerusikan oleh Dr. Mohd Shafik, Pegawai Kesihatan Daerah. Bilik Gerakan Banjir PKD Kemaman telah pun diaktifkan secara pentadbiran dan diselaraskan oleh Unit Kesihatan Perkerjaan & Alam Sekitar (KPAS)
Lawatan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman ke sekitar PPS banjir di Daerah Kemaman dan turut meluangkan masa melawat kuarters anggota KK Kemasik yang turut dimasuki air semalam.
Lawatan ini bertujuan meninjau kesiapsiagaan pasukan dan pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mangsa di PPS.
Untuk rekod, setiap kali berlakunya bencana pasukan bergerak dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman akan digerakkan ke pusat-pusat pemindahan yang telah diwartakan. Ini melibatkan:
1. Pasukan perubatan
2. Pasukan kesihatan
3. Pasukan Pyschological First Aid
Dari semasa ke semasa, penduduk yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan agar membuat persiapan yang rapi dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan.
Mangsa yang berada di PPS dinasihatkan agar mematuhi nasihat kesihatan yang diberikan bagi mengelakkan kejadian kes penyakit yang boleh berlaku apabila berada di tempat yang ramai.
Sekitar Kempen Hidup Sihat Tak Nak Merokok & Cegah Vape dalam kalangan pelajar sekolah yang diadakan serentak pada 13 Disember 2023.
Sambutan perasmian peringkat Daerah bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman telah diadakan di SMK Binjai. Turut serta Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit.
Pencegahan rokok peringkat awal mampu melahirkan generasi kekal tidak merokok sepanjang hayat.
Manakala perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok turut disediakan di klinik-klinik kesihatan secara percuma atau hubungi talian berhenti merokok KKM M-Quit untuk bantuan
LAWATAN KERJA RASMI YB MENTERI KESIHATAN KE KLINIK DESA BINJAI DAN KLINIK KESIHATAN AIR PUTIH, KEMAMAN
27 November 2023 - YB Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke fasiliti kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman melibatkan Klinik Desa Binjai dan Klinik Kesihatan Air Putih. Kedua-dua klinik ini merupakan projek klinik daif KKM 2023 yang telah ditambahbaik.
Sesi lawatan kerja YB Menteri Kesihatan diiringi oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, YBhg. Dato' Dr. Hajah Kasemani Bt Embong. Lawatan ini dimulai dengan lawatan ke Klinik Desa Binjai dan seterusnya ke Klinik Kesihatan Air Putih. Taklimat berkenaan Projek Pembaikan Klinik Daif disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid.
Turut serta delegasi KKM terdiri daripada Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Perancangan, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dan Bahagian Pembangunan. Turut serta Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Dalam sesi lawatan ini, YB Menteri Kesihatan juga telah dijemput bagi menyempurnakan gimik khas pelancaran Kesiapsiagaan Pasukan PKD Kemaman menghadapi bencana banjir memandangkan Daerah Kemaman saban tahun sering dilanda bencana banjir terutamanya di kawasan Air Putih yang merupakan kawasan paling terjejas teruk. YB Menteri Kesihatan juga turut beramah mesra dengan pelanggan klinik yang mendapatkan perkhidmatan.
Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman mengucapkan setinggi ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atas lawatan kerja ini sekaligus dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang fasiliti-fasiliti kesihatan disini
PEMERIKSAAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) BANJIR
Lokasi:
1) SK Bukit Mentok
2) Dewan Berlian MPK
3) Sk Seri Iman
4) SMK Sultan Ismail 1
5) SK Seri Kemaman
Ketua pasukan:
PPKP (K) Mohd Hanif Harun
Ahli pasukan:
- PPKP Nik Amirul Asyraf
- PKA Abd. Hadi Mustofa
Pemeriksaan kesihatan PPS meliputi pencegahan dan kawalan penyakit yang berisiko berlaku di PPS dan persekitaran, keselamatan makanan serta pendidikan kesihatan.
PEMERIKSAAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) BANJIR
Lokasi:
1. SMK Banggol
2. SK Chukai
Ketua pasukan:
PPKP Tuan Syahmi Hisyam
Ahli pasukan:
- PKA Muhamad Siddiq Hanafi bin Atan
Setiap hari pasukan kesihatan melakukan pemeriksaan PPS bagi memastikan PPS berada dalam keadaan baik. Pelbagai teguran tambah baik nasihat kesihatan dimaklumkan terus kepada petugas PPS. Terima kasih kepada semua petugas PPS yang memberikan kerjasama baik kepada pihak kesihatan.
PEMERIKSAAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) BANJIR
Lokasi:
1. Dewan Serbaguna Bukit Gasing
2. SK Seberang Tayor
Ketua pasukan:
PPKP (K) Azman bin Ramli
Ahli pasukan:
- PPKP Mohd Asyraf bin Mohd Anuar
- PPKP Hishamuddin bin Mohd Idris
- PPKP Muhammad Afif Syahmi bin Ruslan
AKTIVITI PEMERIKSAAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) BANJIR OLEH PASUKAN KESIHATAN PKD KEMAMAN
Lokasi: PPS Air Putih dan Masjid Kg. Dadong
Ketua pasukan: PPKP Azri bin A.Latip
Pemeriksaan PPS dilakukan oleh pasukan kesihatan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam.
Pemeriksaan sebelum PPS dibuka adalah amat penting bagi memastikan PPS berada dalam keadaan baik dan tiada risiko ancaman kesihatan yang boleh menyebabkan penyakit kepada penghuni apabila PPS dibuka secara rasmi.
Antara pemeriksaan yang dibuat adalah:
Pencegahan dan kawalan vektor terutamanya LILATIN (lipas, lalat, tikus & nyamuk)
Stok makanan
Bekalan air & tandas
Memastikan PPS diletakkan bahan bacaan penjagaan kesihatan semasa dan selepas banjir
Seminar Kesedaran Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga "Menanti Bahagia" anjuran Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) PKD Kemaman
Seminar Kesedaran Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga "Menanti Bahagia" anjuran Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) PKD Kemaman pada 26 Oktober 2023.
Seminar ini diadakan bertempat di lokaliti KOSPEN iaitu Balai Raya Kg. Besut 1 dengan kerjasama KOSPEN dan JPKK Kg Besut 1, Kemaman. KOSPEN adalah singkatan kepada Komuniti Sihat Pembina Negara merupakan lokaliti dibawah pantauan pihak kesihatan.
Seminar ini diadakan bersempena kempen kesihatan mental dan bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terutama wanita dalam isu-isu melibatkan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga. Seminar ini mendapat tarikan lebih 200 orang peserta telah hadir terdiri daripada anggota kesihatan, wakil-wakil agensi , Puspanita, Squad Waja Kemaman dan warga komuniti sekitar Chukai.
Antara pengisian seminar:
1. Ceramah daripada Pakar Kecemasan Hospital Kemaman, Pegawai Polis, Pegawai Pelindung dan Pengarah Jabtan Biro Guaman Negeri Terengganu yang menekankan peranan jabatan dan agensi serta hak-hak mangsa keganasan rumahtangga dan kanak-kanak yang dianiaya serta peranan masyarakat dalam menangani isu ini.
2. Saringan Kesihatan oleh GSiM KOSPEN
3. Pameran kesihatan mental dan HIV serta kuiz
Sambutan Hari Kesihatan Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2023
Tahniah KK Kuala Kemaman menerima anugerah program Kelab Warga Emas Aktif menerusi aktiviti yang dijalankan di PAWE (Pusat Warga Emas) Geliga sempena Sambutan Hari Kesihatan Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2023.
Turut menerima anugerah Ikon Warga Emas, Puan Embut Bt Embong dari PAWE Geliga.
Pertandingan Senamsihat Health Promotion In Learning Institutions (HEPiLI) Peringkat Negeri Terengganu 2023
Tahniah Kelab Doktor Muda (KDM) SMK Badrul Alam Shah berjaya merangkul Johan Pertandingan Senamsihat Health Promotion In Learning Institutions (HEPiLI) Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Kompleks Rakan Muda, Besut pada 26 Oktober 2023 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Kategori sekolah menengah :
- KDM SMK Badrul Alam Shah
Kategori sekolah rendah :
- KDM SK Seri Iman
Tahniah Kelab Doktor Muda kedua-dua buah sekolah yang telah memenangi johan peringkat Daerah Kemaman yang dianjurkan oleh Unit Promosi Kesihatan PKD Kemaman pada bulan Ogos yang lalu dan seterusnya layak mewakili daerah ke peringkat negeri.
Terima kasih semua pihak yang telah terlibat membawa kontinjen Kemaman:
- Unit Promosi Kesihatan selaku penyelaras
- Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman
- SK Seri Iman
- SMK Badrul Alam Shah
- Guru Penyelaras KDM serta jurulatih
- Guru Teknikal KDM Daerah Kemaman Norhalimah Awang
PERASMIAN PROJEK INOVASI COMBI TAMAN PERWAJA
Lawatan perasmian Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr. Hajah Kasemani Bt Embong ke projek inovasi COMBI Taman Perwaja iaitu Hentian COMBI. Lawatan dilakukan selepas perasmian gotong-royong mega perangi aedes 2.0 dan 1 hour clean up.
Hentian COMBI merupakan satu projek one stop center kepada penduduk setempat bagi mendapatkan informasi pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan denggi dan lain-lain isu kesihatan semasa. Ia adalah hasil transformasi hentian bas terbiar yang telah dibaiki dan ditambahbaik.
Tahniah dan syabas kepada COMBI Taman Perwaja yang telah berjaya melakukan inisiatif bagi perubahan tingkahlaku kesihatan di dalam komuniti. Projek yang dilaksanakan amat bermakna kepada pihak kesihatan.
HIMPUNAN VIRTUAL HePILI & SAMBUTAN MINGGU SIHAT HePILI
Sekitar Perhimpunan Virtual & Sambutan Minggu Sihat HePILI (Health Promotion In Learning Institutions) Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini.
Minggu Sihat HePILI disambut pada 1-7 Julai setiap tahun. Dan sepanjang minggu tersebut, semua institusi pendidikan akan mengadakan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan kesihatan.
HePILI menghimpunkan semua program kesihatan di semua peringkat melibatkan Tunas Dr. Muda, Kelab Doktor Muda (KDM) Sekolah Rendah, Kelab Doktor Muda (KDM) Sekolah Menengah, IMFree dan Program Siswa Sihat (PROSIS) di IPTA/S.
Untuk sambutan ini, Kelab Doktor Muda SK Sultan Ismail telah terpilih sebagai tuan rumah program. Tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa melibatkan kerjasama Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman bersama SK Sultan Ismail dan Pejabat Pendidikan Daerah atas penganjuran yang sangat meriah !
Program turut dihadiri dan disertai oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Shafik Abd Majid dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Dr. Khairul Rafizah bt Hairodin mewakili Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam).
Terima kasih kepada:
-Unit Pendidikan Kesihatan, JKN Terengganu
-Kelab Doktor Muda SK Sultan Ismail
-Guru Teknikal (Jurulatih Utama) KDM Daerah
-Pasukan Wheelness On Wheel, UPKN
-Unit NCD
-Unit Terapi Cara Kerja
-Unit Keselamatan & Kualiti Makanan
-Unit Vektor
-Kesihatan Pergigian
-KK Batu 2 1/2
GOTONG ROYONG MEGA PERANGI AEDES 1.0
17 Jun 2023 -Bertempat di Kg. Telaga Papan, Kerteh dan dirasmikan oleh YB Ir. Haji Saiful Azmi bin Suhaili, ADUN Kemasik. Turut hadir Dr. Mohd Shafik Abd. Majid, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman. Gotong-royong ini juga adalah sokongan kepada Hari Denggi Asean yang memfokuskan kepada 'Ke Arah Sifar Kematian Denggi' menerusi kempen "1 Hour Malaysia Clean Up" yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Program mendapat kerjasama baik daripada JPKK/COMBI Kg. Telaga Papan, Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Daerah Kemaman, COMBI Kemaman, Pejabat Dun Kemasik dan KRT Pekan Kerteh.
Antara aktiviti yang diadakan adalah:
Gotong-royong membersihkan kawasan setempat
Pertandingan Kumpul Bekas Berpotensi Membiak Nyamuk Aedes
Pembelian barangan e-waste dan barangan terpakai oleh MPK
Pemeriksaan kesihatan
Pameran aedes dan denggi
Cabutan bertuah
Program yang dijalankan bertujuan memberi kesedaran, pengetahuan dan kemahiran kepada penduduk setempat tentang isu denggi dan pencegahannya mestilah bermula daripada diri sendiri dan persekitaran.
Kredit:
-Unit Vektor
-Unit Promosi Kesihatan
-Klinik Kesihatan Kerteh
-Unit NCD Daerah
PERASMIAN LOCKER4U KK KERTEH
KEMPEN CARA HIDUP SIHAT KEPADA PELAJAR SK SEBERANG TAYOR
12/2/2023 -Para pelajar merupakan aset pembina negara yang perlu dilentur daripada awal bagi mencapai keberhasilan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Pelajar yang mengamalkan gaya hidup sihat akan lebih cergas dan cerdas mampu mengawal kesihatan diri mereka sendiri dan tabiat ini akan dibawa sehingga akhir hayat. Justeru, Unit Promosi Kesihatan mengadakan permainan interaktif kesihatan berinformasi kepada para pelajar SK Seberang Tayor sebagai salah satu kaedah pembelajaran sambil berseronok (fun learning). Antara yang dipelajari para pelajar adalah berkenaan pemakanan sihat, aktiviti fizikal yang boleh dilakukan sesuai dengan tahap mereka, kepentingan dan cara minda yang sihat serta kebaikan dan keburukan merokok serta vape.
LAWATAN KERJA TIMBALAN PERDANA MENTERI KE PPS SK SERI IMAN DAN SK BUKIT MENTOK
Sekitar lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di SK Seri Iman dan SK Bukit Mentok.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid.
LAWATAN KERJA MENTERI BESAR TERENGGANU KE PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA SK BINJAI
Sekitar lawatan Menteri Besar Terengganu YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir SK Binjai, Kemaman. Turut mengiringi Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd Majid yang seterusnya memberikan taklimat ringkas berkaitan perkhidmatan dan aktiviti pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di PPS.
LAWATAN KERJA KP UNIT PELAKSANAAN JABATAN PERDANA MENTERI DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA, SK BUKIT MENTOK
Terima kasih YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri menyantuni petugas kesihatan sempena lawatan kerja beliau di PPS banjir SK Bukit Mentok. Terima kasih pasukan perubatan Klinik Kesihatan Batu 2 1/2 yang bertugas