SOALAN LAZIM

Q: Bolehkah virus HIV merebak melalui seks oral?

A: Ya, boleh. Jika salah seorang daripada individu tersebut telah dijangkiti virus HIV, pasangannya boleh dijangkiti HIV jika ada ulser atau luka pada mulut semasa melakukannya tanpa perlindungan kondom. Jika tidak tahu status pasangan anda, gunakan kondom. Walaubagaimanapun anda masih lagi terdedah kepada jangkitan virus HIV.

Q: Bolehkah virus HIV merebak melalui berciuman/berkucupan/bercumbuan?

A: Berciuman/ berkucupan/ bercumbuan tidak menyebabkan jangkitan HIV melainkan air liur pembawa HIV yang berciuman dengannya bercampur dengan darah (jika terdapat luka atau ulser pada mulut).

Q: Adakah virus HIV boleh merebak melalui gigitan nyamuk atau gigitan anjing dan kucing?

A: Tidak. Tidak ada bukti saintifik menunjukkkan bahawa gigitan nyamuk atau gigitan anjing atau kucing boleh merebakkan virus HIV sehingga kini.

Q: Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan virus HIV?

A: Terdapat dua kaedah ujian untuk mengesan jangkitan virus HIV iaitu:

Q: Adakah kaedah ujian HIV rapid test dan ujian Antibodi HIV tepat?

A: Kedua-dua kaedah ujian ini mempunyai ketepatan sehingga 99.9% dan pengkhususan sehingga 99.8%.

Q: Sekiranya keputusan ujian HIV adalah negatif, adakah saya bebas daripada jangkitan virus HIV?

A: Keputusan ujian HIV yang negatif tidak bermakna tidak ada langsung jangkitan HIV kerana ia boleh mengambil masa sehingga 6 bulan untuk virus HIV dikesan (tetingkap masa / window period). Oleh itu, anda dinasihatkan menjalani ujian sekali lagi dalam tempoh 3 – 6 bulan untuk memastikan status kesihatan anda.

Q: Berapa lamakah tempoh tetingkap masa (window period ) untuk virus HIV?

A: Tempoh tetingkap masa (window period) yang telah diterima pakai oleh WHO (World Health Organisation) adalah antara 3 – 6 bulan. Ini kerana sistem imunisasi badan memerlukan masa antara 3 hingga 6 bulan untuk menghasilkan antibodi kepada virus HIV tersebut. Justeru untuk keselamatan, anda dinasihatkan memakai kondom setiap kali melakukan hubungan seks dan lakukan ujian saringan HIV. Jika keputusan mengesan virus HIV negatif bermakna anda tidak dijangkiti virus HIV . Sekiranya anda masih mempunyai keraguan, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor.

Q: Adakah maklumat individu yang melakukan ujian ini dirahsiakan?

A: Ya, maklumat individu yang melakukan ujian ini akan dirahsiakan.

Q: Apakah tanda dan gejala seseorang itu dijangkiti virus HIV?

A: Jangkitan virus HIV tidak mempunyai tanda dan gejala yang khusus diperingkat awal. Oleh itu, seseorang yang dijangkiti virus HIV tidak mengetahui dia telah dijangkiti virus ini. Walaubagaimana pun pada peringkat ini, individu ini masih boleh merebakkan virus HIV kepada orang lain.

Tanda dan gejala akan kelihatan apabila sistem pertahanan tubuh telah dilumpuhkan oleh Virus HIV. Tanda dan gejalanya adalah seperti berikut:


Q: Adakah HIV boleh sembuh sepenuhnya?

A: Tidak. HIV akan berada dalam badan pesakit untuk selama-lamanya. Pencegahan jangkitan HIV adalah kaedah terbaik dalam mengawal penularan virus ini.

Q: Adakah rawatan yang mampu menyembuhkan pesakit HIV?

Buat masa ini, masih tiada rawatan yang mampu menyembuhkan pesakit HIV tetapi rawatan yang disediakan mampu mengurangkan jumlah virus dalam badan dan mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan HIV justeru mengurangkan risiko menghidapi AIDS.

Q: Apakah cara terbaik dalam mencegah jangkitan HIV?

A: Terbaik: Menjauhi zina atau hubungan sesama jenis, menjauhi aktiviti berkaitan dadah terutamanya yang melibatkan penggunaan jarum adalah kaedah terbaik dalam mencegah jangkitan HIV.

   Pengurangan kemudaaratan: Menggunakan kondom setiap kali melakukan hubungan seksual dan tidak berkongsi jarum suntikan semasa penggunaan dadah suntikan.

   Pengurangan kemudaratan: Bagi pasangan "serodiscordant couple" ( salah seorang pasangan masih negative HIV), pasangan yang positive HIV perlu mengambil rawatan HAART untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada pasangan yang lain.

Q: Jika saya positif HIV dan pasangan saya negatif HIV, bolehkah saya bersama dengan pasangan saya tanpa menjangkiti pasangan dengan HIV?

A: Boleh tetapi pesakit HIV tersebut perlu memastikan bahawa pesakit perlu patuh dengan rawatan dan ubat yang diberikan oleh doktor dan memastikan jumlah 

Q: Adakah saya akan dijangkiti HIV sekiranya saya bersentuhan dengan pesakit HIV?

A: Tidak. HIV tidak berjangkit melalui sentuhan, bersalaman, berkongsi peralatan makanan, tinggal bersama atau berkongsi tandas.

Jangkitan hanya melibatkan hubungan seksual, berkongsi jarum suntikan dan dari ibu kepada anak semasa mengandung, melahirkan anak dan menyusu badan.

Q: Bolehkah pesakit HIV/AIDS berkahwin, mengandung dan melahirkan anak?

A: Boleh. Pembawa HIV boleh berkahwin, mengandung dan melahirkan anak. Walaupun demikian, sebaik-baiknya dapatkan kaunseling terlebih dahulu supaya jangkitan kepada pasangan atau anak dapat dielakkan.

 Bagi ibu yang telah dijangkiti HIV dan ingin mengandung, rawatan antiretroviral akan diberikan supaya risiko jangkitan semasa mengandung dan bersalin dapat dicegah.

 Selain itu, penjagaan khusus akan diberikan kepada ibu yang dijangkiti HIV semasa mengandung, penjagaan antenatal, semasa kelahiran dan juga selepas bersalin. Penjagaan khusus juga diberikan kepada bayi.

Q: Adakah ibu yang telah dijangkiti virus HIV boleh merebakkan virus HIV kepada bayinya?

A: Boleh. Virus HIV boleh direbakkan kepada bayi ketika dalam kandungan, ketika melahirkan atau sewaktu memberi susu badan.

Status kesihatan bayi yang baru dilahirkan boleh diketahui melalui ujian HIV PCR dan bayi baru lahir tersebut akan menjalani rawatan susulan setiap 3 bulan sehingga 6 bulan untuk mengenal pastikan status jangkitan HIV.

Q: Berapa lamakah tempoh hayat maksimum bagi penghidap HIV/AIDS?

A: Jangka hayat penghidap HIV/AIDS bergantung kepada kepatuhan pesakit kepada rawatan mengikut dos ubat yang diarahkan. Sekiranya tidak mendapat rawatan, gejala AIDS akan muncul dalam tempoh 8 hingga 10 tahun kemudian. Walaupun demikian, dalam masa 2 tahun, pesakit HIV/AIDS masih berkemungkinan mendapat jangkitan kuman yang teruk, susut berat badan dan menjadi lemah.

Q: Adakah pengendalian jenazah/mayat pesakit AIDS dilakukan secara berasingan?

A: Ya. Pengendalian jenazah/mayat pesakit AIDS perlu dilakukan secara berasingan.

Q: Adakah pengendalian jenazah/mayat hanya dilakukan oleh doktor sahaja?

A: Tidak. pengendalian jenazah/mayat boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih. Bagi pesakit AIDS yang meninggal di hospital, jenazah/mayatnya akan diurus oleh pihak Hospital. Manakala untuk pesakit AIDS yang meninggal di rumah, waris perlu melapor kematian ke Klinik Kesihatan berhampiran. Pihak Klinik Kesihatan akan melapor ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk bantuan pengurusan jenazah.