INFLUENZA
INFLUENZA
Influenza
Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.
Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerap kali berlaku semasa musim sejuk manakala bagi negara-negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), kejadian wabak berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.
Secara kebiasaannya, gejala influenza bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti, dan ianya meliputi :
Demam
Selesema
Sakit tekak
Batuk
Sakit kepala
Sakit badan
Sukar bernafas
Cirit birit dan sakit perut (khususnya dikalangan kanak-kanak)
Kerap kali jangkitan virus influenza sekadar menyebabkan gejala jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap immuniti badan yang baik.
Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.
Cara yang terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur 6 bulan dan ke atas di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta.
Selain dari mendapatkan vaksin influenza, lain-lain langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
Amalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask);
Buang tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask) ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas ianya digunakan;
Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak 1 meter;
Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, gunakan penutup mulut dan hidung (face mask).
Sumber: https://www.infosihat.gov.my/influenza.html